Bekas Home Guard 110 tahun dilayan persis bintang ternama

Bekas Home Guard 110 tahun dilayan persis bintang ternama

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Seorang warga emas berusia 110 tahun menjadi perhatian persis bintang ternama pada sambutan Hari Polis ke-214 peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Amad Shah, di sini, hari ini.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail diiring Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Abd Jalil Hassan bertemu bekas polis,  Mat Ariffin Mat Deris berusia 110 tahun
pada sambutan Hari Polis ke-214 peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Amad Shah di sini.

  Kehadiran Mat Ariffin Mat Deris pada majlis itu membuatkan dia dikerumuni hadirin yang terdiri daripada anggota polis, untuk bergambar kenang-kenangan. 

  Warga emas itu tidak menghampakan permintaan mereka malah sudi melemparkan senyuman tanpa sedikit pun nampak penat walaupun sudah berusia lebih seabad. 

  Mat Ariffin yang berasal dari Kuala Lipis, pernah bertugas dalam Pasukan Kawalan Tempatan atau lebih dikenali Home Guard, sebelum bersara sebagai anggota polis.  

  Menurutnya, dia mula menyertai pasukan Home Guard yang diasaskan British di Tanah Melayu ketika berusia 17 tahun dan ditugaskan di Rantau Panjang, Kelantan.  

  “Kerana usia saya, ada beberapa peristiwa yang masih segar dalam ingatan termasuklah ketika tentera Jepun tiba di Kelantan (pada 1941) dengan menunggang ratusan kuda.

  “Apabila Home Guard dibubarkan selepas darurat, saya masuk polis dan bertugas di Kelantan sehingga bersara. Tempat terakhir saya bertugas ialah di Balai Polis Meranti di Pasir Mas,” katanya yang mempunyai 13 anak dan 40 cucu.

  Anaknya, Kamarulzaman, 47, berkata ayahnya sekarang banyak menghabiskan masa di rumah bermain dengan cicitnya.

  Ditanya bagaimana ayahnya masih mengingati banyak peristiwa dengan jelas, Kamarulzaman berkata, ia mungkin disebabkan tabiatnya gemar memakan ulam dan makan tepat pada masa setiap hari.

  “Banyak peristiwa berlaku lama dulu tapi dia ingat dengan jelas, malah ketika berjalan juga tak perlu guna tongkat. Dia tak amalkan diet khas, cuma suka makan tepat pada waktu dan banyak makan ulam-ulaman,” katanya.

  Atas jasanya bertugas dengan pasukan beruniform, Mat Ariffin dianugerahkan sijil dan wang tunai sebanyak RM500 yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail. 

  Turut mendapat diberi sijil penghargaan ialah Ketua Polis Balai Bukit Tinggi, Sarjan Mejar Maznan Omar yang menjadi wira apabila berjaya menghalang seorang remaja perempuan daripada terjun dari jambatan di Bukit Tinggi, Bentong, pada 16 Mac lalu.

  “Saya amat berbangga dan berbesar hati atas penghargaan ini. Istimewanya ialah saya bersama pasukan berjaya menyelamatkan nyawa remaja itu. Saya cuma lakukan apa yang akan dilakukan semua bapa lain jika berdepan situasi serupa,” katanya yang turut mempunyai anak berusia 16 tahun.

  Selain menerima hadiah RM1,000 bersama sijil penghargaan, Maznan menerima tambahan RM1,000 lagi yang dihadiahkan Wan Rosdy atas aksi adiwiranya.

  Pada 16 Mac lalu, Maznan menyelamatkan remaja perempuan yang cuba terjun dari jejambat di Kilometer 46 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat susur Berjaya Hills Bukit Tinggi.

  Video Maznan menyelamatkan remaja berusia 16 tahun itu dengan menarik remaja berkenaan dari belakang sebelum dibantu anggota polis tular di media sosial dan mendapat pujian ramai.