Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
LIPIS: Usianya lebih satu abad, namun ia bukan penghalang untuk Mat Ariffin Mat Deris mendapatkan dos pertama vaksin COVID-19 hari ini.
Mat Ariffin yang dianggarkan berusia 110 tahun berkata, pengambilan vaksin itu dibuat atas kesedaran bahawa ia sangat penting bagi melindungi diri memandangkan pandemik itu belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir dalam masa terdekat.

“Saya sendiri yang nak ambil vaksin ini, tidak ada sesiapa yang paksa kerana sedar ia untuk kebaikan semua, melindungi kita daripada ancaman penyakit ini.
“Urusan pendaftaran juga mudah, semua diuruskan Ketua Kampung Tanjung Buluh, Mohamad Najid Abu dan hari ini saya terima (dos pertama) vaksin,” katanya ketika ditemui di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, dekat sini, hari ini.

Arifin yang berasal dari Machang, Kelantan dan kini menetap di Kampung Kerambit yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Lipis, masih mempunyai daya ingatan yang amat baik.
Malah, bekas polis yang menerima sijil penghargaan ketika Sambutan Hari Polis Ke-214 Peringkat Pahang pada Mac lalu itu, tidak mempunyai masalah kesihatan kronik.
“Sepatutnya kita kena ambil vaksin kerana ini adalah untuk keselamatan kita, tidak perlu takut dengan pelbagai khabar angin mengenai kesan sampingan selepas menerima suntikan.
“Dari awal saya tahu akan terima vaksin, tak berasa takut pun, malah, lepas dapat suntikan, saya rasa sangat bersemangat dan bertenaga,” katanya yang pernah bertugas ketika zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu.
Sementara itu, Mohamad Najid berkata, pihaknya mengedarkan borang pendaftaran vaksin secara manual kepada penduduk kampung berkenaan sejak awal bulan lalu.
“Cara ini lebih mudah untuk kita mengenal pasti penduduk yang mendaftar dan kita cuba permudahkan proses pendaftaran mereka, selain pendaftaran menggunakan aplikasi MySejahtera.
“Usaha (pendaftaran secara manual) ini adalah hasil inisiatif Pejabat Daerah dan mendapat sokongan semua pihak, termasuk kerajaan negeri,” katanya yang memaklumkan kira-kira 80 peratus penduduk kampung terbabit sudah mendaftar untuk mendapatkan diri untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.