Belanjawan 2022 dicorak bersama

Belanjawan 2022 dicorak bersama

KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, menyelitkan tiga rangkap pantun di akhir ucapan pembentangan Belanjawan 2022 Pahang Darul Makmur, di Wisma Sri Pahang, sini, hari ini. 

Pantun itu jelas membawakan mesej bahawa belanjawan yang dibentangkan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14, dicorakkan bersama di antara rakyat dan kerajaan negeri.

“Selama 42 bulan dua minggu dengan takdir Allah SWT, saya diberi kepercayaan menerajui Kerajaan Pahang bersama rakan Exco Kerajaan Negeri, rakan Ahli Yang Berhormat, Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Selain itu, pegawai tertinggi kerajaan negeri, pegawai kanan negeri dan pegawai-pegawai daerah serta anak-anak syarikat Negeri Pahang yang sentiasa cuba melakukan penambahbaikan untuk kemajuan negeri bagi manfaat rakyat dari semasa ke semasa. 

“Berkata sama sekata, berdiri sama sebaris dan bergerak sama sederap dalam satu pasukan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 Pahang Darul Makmur membabitkan peruntukan RM1.031 bilion dengan lebihan RM5.7 juta.

Selain itu, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, turut menepis dakwaan pihak tertentu yang meramalkan Pahang bakal menghadapi krisis kewangan selepas Pilihan Raya Ke-14 (PRU 14) kerana ketika itu tidak sealiran dengan Kerajaan Pusat. 

“Namun, dengan izin Allah, Alhamdulillah, kita telah menunjukkan bahawa Pahang mampu berdikari. Inilah Pahang! This Is Pahang!,” katanya.

Ini adalah tiga rangkap pantun empat kerat yang disampaikan oleh Menteri Besar yang mesra dipanggil Tok Wan sebelum memohon mencadangkan agar Belanjawan 2022 mendapat sokongan semua. 

Terbang tinggi si rama-rama, 

Hinggap sekejap di dahan tunggal, 

Belanjawan Pahang dicorak bersama, 

Semua golongan tidak tertinggal. 

Hinggap sekejap di dahan tunggal, 

Dahan tunggal diikat tali, 

Semua golongan tidak tertinggal, 

Inilah tanda Kerajaan Pahang peduli

Dahan tunggal diikat tali, 

Dikerat untuk dijadikan sakti, 

Inilah tanda kerajaan peduli 

Tiada janji, lihatlah bukti