Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar/video Mustaffa Kamal
KUANTAN: Golongan belia di negeri ini harus menyambar peluang menceburi bidang perniagaan dan mencari jalan untuk lebih proaktif sekali gus membantu pembangunan masyarakat setempat.
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi membantu dalam aspek pembangunan golongan itu, Kerajaan Pahang menyediakan dana berjumlah RM10 juta bagi tujuan menggalakkan lebih ramai belia menyertai bidang perniagaan, selain mengembangkan perniagaan sedia ada.
“Kita dah umumkan dana ini November lalu ketika pembentangan Belajawan Negeri 2021 dan ia bertujuan sebagai modal awal kepada golongan belia yang ingin menyertai perniagaan.
“Sebagai golongan yang bakal menjadi pemimpin masa depan, belia perlu berfikiran kreatif dan kritikal untuk memastikan kehadiran mereka dalam masyarakat dapat memberi manfaat dan membantu meningkatkan sosio-ekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemimpin Belia Sempena Mesyuarat Majlis Belia Malaysia (MBM) Pahang, di sini, malam tadi.
Mesyuarat kali ini menyaksikan jawatan Pengerusi MBM Pahang yang dipertandingkan, dimenangi Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Johari Hussain; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda dan bekas Pengerusi MBM Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong.
Pada majlis sama, Wan Rosdy turut menyampaikan cek berjumlah RM470,000 kepada wakil 26 anggota gabungan MBM negeri.