Belum ada keperluan tutup taska, tadika di Pahang kerana HFMD

Belum ada keperluan tutup taska, tadika di Pahang kerana HFMD

BERA: Penilaian risiko dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang terhadap peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) mendapati belum ada keperluan untuk menutup taska, tadika dan kelas prasekolah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang,  Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, keadaan terkawal walaupun jumlah kes melonjak sejak Januari 18 Mei lalu.

Katanya kebanyakan kes HFMD dikesan di negeri ini bersifat sporadik dan jumlah penularan kes di taska dan tadika masih rendah.

“Sekurang-kurangnya 1,744 kes dicatatkan sehingga Mei lalu, berbanding 205 kes bagi tempoh sama pada tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, hanya 8.3 peratus atau 145 kes dikenal pasti berlaku di pusat pendidikan kanak-kanak seperti taska, tadika dan prasekolah manakala 91.7 peratus atau 1,599 kes ini tersebar secara sporadik,” katanya. 

Beliau berkata, atas penilaian risiko ini, JKN Pahang dan kita (Kerajaan Pahang) memutuskan belum ada keperluan untuk menutup taska, tadika dan kelas prasekolah. 

“Apa yang membimbangkan kita ialah pendedahan anak kita ke kawasan yang sesak,” katanya yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai di Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri  bersama Sukarelawan dan warga Bera di Dewan Majlis Daerah Bera, di sini, hari ini. 

Bagaimanapun, katanya, tindakan penutupan taska akan dibuat jika penilaian risiko oleh JKN Pahang mendapati jumlah penularan kes HFMD di negeri ini bertambah serius. – MUHAMMAD NAJMIE