Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: “Hari ini saya tengok ada sedikit peningkatan orang yang singgah, terutama selepas tengah hari.
“Kami jangka ramai akan pulang ke kampung pada hujung minggu ini,” kata peniaga kedai makan, Syalila Nawai, 19, ketika ditemui di R&R Perasing, LPT2, hari ini.
Tinjauan di sekitar Lebuhraya Pantai Timur (LPT) mendapati keadaan trafik masih tenang dan pengunjung di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) juga tidak terlalu ramai.
Pengguna, Mohamad Nur Shafiq Md Hamzah, 31, dari Port Dickson, Negeri Sembilan, berkata, dia dan isteri, Nur Faiqa Abas, 31, sudah membuat perancangan awal untuk pulang ke kampung.
“Sebaik kerajaan umum boleh rentas negeri, kami terus mengambil keputusan untuk pulang ke kampung,” katanya.
Bagaimanapun, bapa tiga anak berusia dua hingga tujuh tahun itu berkata, mereka mengambil langkah berwaspada -jaga dengan membuat giliran pulang ke kampung di kalangan adik-beradik.
“Kami bergilir kerana tidak mahu terlalu ramai berkumpul di rumah ibu bapa. Selain itu, saya dan isteri sentiasa membawa ‘nano spray’ dan menggunakannya apabila singgah di pondok di R&R untuk berehat atau makan,” katanya.