Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Berkibarnya bendera Pahang dan berkumandangnya lagu Allah Selamatkan Sultan Kami di bumi Gaza, Palestin, hari ini, seolah-olah menjadi tanda hubungan semakin utuh terjalin antara negeri ini dengan kawasan sedang bergolak itu.
Peristiwa bersejarah di Sekolah Jenis Bandar Gaza itu disempurnakan sempena Majlis Penutup Program Kutipan Dana Tabung Pahang4Palestine yang dianjurkan serentak di sini dan Gaza.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata tabung berkenaan yang dilancarkan 1 Jun hingga 31 Ogos lalu, berjaya mengumpul sebanyak RM662,188.
“Bagaimanapun kita bersetuju untuk menambah lagi dana untuk menjadikan kutipan keseluruhan sebanyak RM700,000.
“Sumbangan ini akan digunakan untuk membaik pulih masjid dan sekolah, sama ada yang musnah 100 peratus, mahupun separa musnah,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis berkenaan di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan bukan kerajaan (NGO) Pahang, Dato’ Sri Johari Hussin dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin.
Turut menyaksikan majlis berkenaan secara langsung di Gaza, Timbalan Menteri Pendidikan Gaza, Palestin, Dr Ziad Thabit dan Timbalan Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestine, Dr Abdul Hadi Al-Agha.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, dana berkenaan hasil sumbangan kerajaan negeri, Umno Pahang, orang persendirian dan rakyat negeri ini menerusi aplikasi Pahang Go.
“Sumbangan ini akan diselaras dan diuruskan wakil Pertubuhan Cinta Gaza, Nadir Al-Nuri Kamaruzaman untuk kegunaan membaik pulih sebuah sekolah dan masjid di Gaza,” katanya.
Sementara itu, Dr Ziad berkata, sebanyak 113 masjid musnah dan 118 lagi separa musnah akibat serangan rejim Zionis Israel, Ramadan lalu.
“Banyak juga sekolah yang musnah sehinggakan murid dan pelajar yang berjumlah 800,000 di seluruh Gaza terpaksa berkongsi kelas yang ramai sehingga 50 orang satu kelas selain terpaksa belajar dalam keadaan gangguan bekalan elektrik,” katanya.