Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com
TEMERLOH: Memahami kesan penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan sumber pendapatan terjejas yang dihadapi rakyat di negeri ini, Kerajaan Pahang menyalurkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP).
Terbaru, 190 pengusaha kantin dan dewan makan sekolah di kawasan Parlimen Kuala Krau menerima bantuan itu di Dewan Seri Ketumbit Kerdau, di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata bantuan itu membabitkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kerdau, Jenderak dan Mentakab di kawasan Parlimen Kuala Krau.
“Diharapkan, BPP ini dapat meringankan beban yang dialami pengusaha kantin dan dewan makan ketika wabak pandemik Covid-19.
“Ini kerana mereka antara golongan yang paling terkesan akibat pandemik apabila perniagaan tidak beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang.