Berat sungguh dugaanmu

Berat sungguh dugaanmu

KUANTAN: Sudah jatuh ditimpa tangga. Itu dirasakan Farhana Ab Rahim, 34, yang terpaksa bermalam di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Wisma Belia di sini sejak Jumaat lalu ekoran rumahnya di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Pandan dinaiki air hingga paras siling.

Tambah menyedihkan, Ibu kepada tiga anak berusia sebulan hingga 11 tahun itu, kini sedang sarat mengandung tujuh bulan selain mengidap penyakit ekzema kronik.

Lebih memilukan, dia dan suami, Mohd Tasmawi Mohd Adnan, 36, kini hilang punca pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

“Memang berat dugaan diterima… saya dan dua anak perempuan mengidap ekzema kronik satu badan hingga ke kepala. Jika terdedah lama memang cepat naik (merebak) ekzema, sebab itu saya nak pindah cepat-cepat ke PPS.

“Tadi tengok video dikirim jiran, rumah kami hampir tenggelam sepenuhnya. Tak tahulah apa nasib kami nanti,” katanya.

Farhana bagaimanapun tetap bersyukur apabila mendapat bantuan daripada  KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berangkat ke PPS itu hari ini.

“Memang beruntung rakyat Pahang dapat Raja (Al-Sultan Abdullah) yang prihatin macam ini. 

“Saya juga nak ucap terima kasih sangat-sangat kepada Kerajaan Pahang, terutama MB (YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail),” katanya. – HELMY ABD RAHMAN