KUANTAN: Badan Perhubungan UMNO Pahang sedih dan bersimpati kepada bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak, berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan beliau untuk mengemukakan bukti tambahan.
YAB Pengerusinya, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata UMNO Pahang berpandangan bahawa Najib seharusnya diberikan ruang dan peluang serta hak sepatutnya untuk mempertahankan diri dalam kes dihadapinya kini.
“Bukti-bukti tambahan itu tidak harus diketepikan begitu sahaja semata-mata atas alasan teknikal.
“Badan Perhubungan UMNO Pahang berkeyakinan penuh bahawa institusi kehakiman akan melaksanakan fungsi dan peranan yang termaktub dengan sebaik-baiknya demi menegakkan keadilan dan kebenaran, tanpa terpengaruh dengan sebarang konflik kepentingan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, Badan Perhubungan UMNO Pahang mendoakan supaya bekas Perdana Menteri itu dikurniakan ketabahan, kekuatan serta kesabaran untuk berdepan detik sukar.
“Kita juga berharap supaya beliau terus cekal meneruskan perjuangan bagi mendapatkan keadilan,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN