Berita baik untuk guru ASPA

Berita baik untuk guru ASPA

BENTONG: Berita baik buat 100 guru Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) yang sebelum ini memegang jawatan berstatus khidmat sukarela apabila dilantik berkhidmat di bawah kerajaan negeri secara ‘contract of service’.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata bagi tujuan itu, Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak lebih RM4 juta setahun.

Katanya, sebelum ini guru-guru terbabit hanya menerima elaun bulanan sumbangan Amanah Saham Pahang (ASPA).

“Syukur alhamdulillah, hari ini saya ke Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Pegawai Pendidikan DG41 ‘Contract of Service’ dan Bonus Guru Bantuan Amanah Saham Pahang (ASPA) di SMAN.

“Majlis ini bagi meraikan dan mengiktiraf sumbangan guru-guru ASPA yang telah memberi khidmat bakti terbaik untuk meningkatkan prestasi akademik dan sahsiah pelajar di SMAN Pahang,” katanya di Dewan Majlis Perbandaran Bentong di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallahudin Ishak dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkefli Ali.

Pada majlis sama, Wan Rosdy turut mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM1,200 kepada semua guru ASPA yang berkhidmat di SMAN Pahang. 

“Langkah ini membuktikan Kerajaan Pahang sentiasa konsisten dan mengambil berat soal kebajikan guru-guru agama yang berkhidmat dan menabur bakti di Pahang.

“Segala ini dilakukan kerana kita menyedari pentingnya agenda pembangunan institusi agama dalam memperkembangkan ilmu serta melahirkan modal insan yang berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, secara umumnya guru lantikan ‘contract of service’ itu menikmati pelbagai faedah yang hampir menyamai penjawat awam tetap.

“Cumanya, guru-guru ini tiada pencen sebaliknya mempunyai caruman di KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

“Faedah diterima termasuk emolumen atau gaji sebanyak RM2,800 sebulan, Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) sebanyak RM300 sebulan, Elaun Sara Hidup antara RM150 hingga RM300 mengikut kawasan, tempoh kontrak dua tahun dan dibayar imbuhan untuk tempoh perkhidmatan dua tahun, cuti 10 hari dan Bonus Tahunan (jika ada) dibayar sama jumlah dengan penjawat awam tetap,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN