Berita baik untuk pemain industri pelancongan di Pulau Tioman

Berita baik untuk pemain industri pelancongan di Pulau Tioman

Husin Ibrahim

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Selepas terpaksa menelan kepahitan berikutan ketiadaan pelancong akibat penularan COVID-19, pemain industri pelancongan terutama operator selam skuba di Pulau Tioman mampu bernafas lega apabila pulau berkenaan dibuka kembali kepada pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, aktiviti selam skuba dapat melonjakkan nilai ekonomi setempat apabila kembali beroperasi di Pulau Tioman nanti.

“Ini ada kaitannya dengan keperluan bilik penginapan, makan minum, sewaan bot dan lain lain.

“Malah, pihak Pelancongan Pahang sebagai agensi kerajaan dalam pembangunan dan kemajuan industri pelancongan negeri, menerima banyak pertanyaan lanjut selain tempahan untuk aktiviti sukan air itu dan syarat-syarat mengunjungi Pulau Tioman.

Aktiviti selam skuba di Pulau Tioman

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program pembangunan semula kemahiran pekerja anjuran Institiut Latihan Sultan Ahmad Shah (ILSA) dan Pelancongan Pahang di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Kamaruddin Ibrahim.

Mengulas lanjut, Mohd Sharkar berkata, apabila kembali beroperasi, pelbagai aktiviti di Pulau Tioman akan menikmati limpahan ekonomi dan menghidupkan peluang rangkaian ekonomi lain antaranya operator dan pekerja feri, stesen minyak, pembekal makanan dan minuman selain pengusaha chalet, hotel dan resort. 

Menurutnya, selepas Bukit Fraser dibuka kembali esok, Pulau Tioman adalah destinasi pelancongan kedua dibuka di negeri ini.

“Ini susulan penduduk di kedua-dua kawasan ini sudah menerima dua dos suntikan vaksin dalam program vaksinasi berkelompok yang menjadi antara syarat mendapat kebenaran beroperasi semula.

“Bagaimanapun, semua pelancong yang berhasrat ke pulau Tioman atau Bukit Fraser akan disaring tentang status vaksinasi masing-masing di pintu masuk dan perlu mempamerkan sijil berdigital yang mereka miliki,” katanya.