Berjiwa rakyat, membawa pembangunan perlu selari 

Berjiwa rakyat, membawa pembangunan perlu selari 

KUANTAN: Penampilan calon muka baharu sama ada muda atau berusia bukan satu isu bagi pengundi sebaliknya calon mesti pandai buat kerja dan mesra masyarakat.

Nur Farhana Adila Suhaimi, 29, berkata calon mesti seorang pandai mengambil hati, mudah didekati dan boleh menyelesaikan apa juga masalah yang timbul.

Nur Farhana Adila Suhaimi

“Tua atau muda bukan isu tetapi saya mahukan calon yang boleh membawa pembangunan kepada kawasan yang diwakilinya dan melaksanakan mandat yang telah diberikan pucuk pimpinan parti,” katanya.

Razaira Rasid,30, pula berkata penampilan calon baharu diharap mampu memberi ‘pulangan berharga’ kepada rakyat. 

“Kita dah pilih dia, sewajarnyalah dia memberikan yang terbaik dalam tempoh perkhidmatan sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat nanti.

“Pengundi juga mahukan wakil rakyat yang boleh membawa pembangunan. Kalau berjiwa rakyat tetapi gagal membawa pembangunan kepada kawasan dan penduduk, tiada gunanya juga,” katanya.

Razaira Rasid

Mohd Kamil Ibrahim, 38, berharap Pahang akan terus diterajui Barisan Nasional (BN) berdasarkan gabungan calon senior dan baharu yang berkaliber dan berwibawa.

Katanya, YAB Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengambil langkah berani apabila mengumumkan 64 peratus muka baharu. 

“Kini, terpulang kepada calon kerana komitmen mereka amat penting dalam menentukan kemenangan kepada BN Pahang,” katanya yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Raub. – NUR HANNAH KHADIJAH