Berkelah dahlah, jangan bakar pokok

Berkelah dahlah, jangan bakar pokok

KUANTAN: Tindakan tegas termasuk kompaun akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati sengaja membakar dan merosakkan pokok di persekitaran pantai dan taman awam di daerah ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Dato’ Hamdan Hussin berkata, ia berikutan pokok itu adalah aset majlis dan tidak boleh dirosakkan sesuka hati.

“Kita dapati ada pengunjung beberapa pantai di daerah ini membakar pangkal pokok bagi tujuan memasak. 

“Oleh itu, pokok Rhu dengan kesan terbakar pada pangkalnya tumbang di Pantai Sepat, pada 12 Oktober lalu,” katanya pada Program Kempen Sayangi Pokok ‘ Selamatkan Pokok Kita’ di Pantai Sepat, di sini, hari ini. 

Turut didirikan papan tanda yang tertera catatan pekerja pembersihan memadam kebakaran sebelum pokok itu tumbang.

Selain itu, semua pokok di sekitar Pantai Sepat turut dipasang tanda ‘Selamatkan Pokok Kita’ dan gegantung iaitu kain rentang hebahan bagi mengumpul tandatangan pengunjung sebagai sokongan kepada kempen itu.

Hamdan berkata, pokok yang tumbang di Pantai Sepat itu dikekalkan sementara sebagai tugu peringatan bukti kejadian dan kesan akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab.

Sehingga ini, katanya, MBK sudah menanam empat ribu pokok di sekitar Pantai Sepat, Pantai Balok, Pantai Cempaka dan Pantai kempadang melalui peruntukan kira-kira RM40,000 daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP). – MOHD IMRAN IZZAD.