KUANTAN: Sekurang-kurangnya 220 peserta termasuk dari Sabah dan Sarawak menyertai Persidangan Perhutanan Malaysia (Malaysian Forestry Conference – MFC) di The Zenith Hotel, di sini, bermula hari ini.
Persidangan selama empat hari itu dijangka dirasmikan oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, pada Isnin, 13 Jun 2022.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Indera Mohd Ridza Awang turut dijangka hadir.
Mohd Ridza berkata, persidangan anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perhutanan Sabah (JP Sabah) dan Jabatan Hutan Sarawak (JH Sarawak) diadakan setiap tiga tahun sekali.
“Persidangan itu adalah platform bagi delegasi terdiri daripada warga perhutanan Semenanjung, Sabah, Sarawak dan kakitangan agensi berkaitan bertukar fikiran dan maklumat.
“Pertemuan turut menjadi gelanggang berkongsi pengalaman berkaitan pentadbiran, pengurusan, perancangan dan pembangunan terkini sektor perhutanan di negara ini,” katanya.
Menurutnya, persidangan turut akan membincangkan dan mengenal pasti cara penyelesaian bersama terhadap masalah berkaitan pengurusan dan pembangunan hutan, menyelaras pengurusan dan penggunaan sumber hutan yang dirancang secara berkesan. – MOHD IMRAN IZZAD