RAUB: Kira-kira lima ribu penduduk hadir bersama-sama meriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Raub, di sini, hari ini.
Sambutan bertambah meriah apabila KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mencemar duli hadir menyerikan majlis.
Turut sama mengiringi baginda berdua adalah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Dato’ Abd Aziz Mat Kiram.
“Kami mewakili kerajaan negeri mengiringi Tuanku yang menyerikan majlis yang penuh bermakna ini.
“Tuanku menjamah semua juadah disediakan oleh beberapa agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), UiTM, Kolej Komuniti, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pejabat Agama Islam Daerah, Pejabat Daerah dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
“Daulat Tuanku dilaungkan secara spontan di dataran UiTM ini. Tahniah semua semoga diberkati Allah SWT,” kata Syed Ibrahim menerusi hantaran di Facebook. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN