Bersih dan tanam bakau ditepi Sungai Kuantan

Bersih dan tanam bakau ditepi Sungai Kuantan

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Aktiviti menanam bakau dan memungut sampah antara yang diadakan pada program penyelenggaraan jeti boardwalk pinggiran Sungai Kuantan di sini, hari ini.

  Program anjuran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) diadakan bagi mengindahkan lagi kawasan terbabit yang merupakan produk pelancong terkenal di daerah ini.

  Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata program hujung minggu yang diadakan itu bagi memastikan kawasan pelancongan itu terus kekal menarik untuk dikunjungi pelancong.

  Menurutnya, walaupun kawasan berkenaan kini sunyi daripada pelancong berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun tidak bermakna aktiviti penyelenggaraan tidak perlu dilakukan.

  Katanya, program hari ini membabitkan aktiviti memungut sampah dan mengecat binaan termasuk menanam pokok bakau oleh kakitangan JPNP.

  “Program gotong-royong hari ini akan terus diadakan pada masa akan datang dalam memastikan produk pelancongan boardwalk yang terletak ditepi Sungai Kuantan sentiasa berada dalam keadaan menarik untuk dikunjungi.

  “Kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta dapat melancarkan lagi usaha mengekalkan produk pelancongan yang ada di daerah ini,” katanya.

  Sementara itu, Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran Norshazlee Roslee berkata, sebanyak 50 pokok bakau spesies bakau minyak dan bakau kurap ditanam pada program hari ini.

  “Kawasan berkenaan terletak dalam Hutan Simpan Paya Bakau daerah ini yang perlu terus dikekalkan dalam usaha mengawal kejadian hakisan sungai selain merupakan produk pelancongan.

  “Kita membawa benih pokok bakau minyak dari Selangor dengan harapan ia akan membiak di kawasan tepi Sungai Kuantan,” katanya.