Bersih parit elak banjir

Bersih parit elak banjir

KUANTAN: Semua parit dan longkang sudah diarah dibersihkan sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh terutama menangani masalah banjir kilat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda, berkata ia membabitkan pelbagai agensi iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, kerja pembersihan sistem perparitan itu perlu dilakukan kerana dapat mengatasi dan mengelak masalah banjir.

“Sebagai contoh berlaku banjir kilat yang berlaku di Jalan Lim Hoe Lek dan Jalan Besar di Kuantan, yang menenggelam beberapa kenderaan, pada awal tahun ini.

“Berikutan itu saya sudah mengarahkan JKR dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memasang penghadang bagi mengelak kenderaan memasuki longkang ketika berlakunya banjir kilat,” katanya.

Mengulas persediaan menghadapi musim tengkujuh, Abd Rahim berkata, semua agensi sudah bersiap sedia menghadapinya.

“Tumpuan bukan sahaja di kawasan berisiko, sebaliknya semua kawasan untuk memastikan operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan berkesan apabila berlakunya banjir,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN