Bersungguhlah urus pusat tahfiz, titah Pemangku Raja Pahang

Bersungguhlah urus pusat tahfiz, titah Pemangku Raja Pahang

KUANTAN: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya pusat tahfiz di Pahang ditadbir urus dengan baik dan profesional.

Baginda bertitah, pada masa sama, aspek keselamatan juga hendaklah sentiasa dititikberatkan supaya kemalangan tidak diingini dapat dielakkan.

“Saya tidak mahu berbangga dengan bilangan pusat tahfiz yang banyak tapi pengurusannya lemah, asramanya usang, atapnya bocor dan kebajikan pelajarnya tidak terjaga.

“Janganlah sehingga pembukaan pusat tahfiz yang baharu nanti dibuat bagai gulai sedap, nasi mentah, nasi sedap, gulai pula mentah.

“Kata hikmat orang tua Melayu ini amat sesuai kita jadikan teladan dan iktibar, buatlah sesuatu perkara itu bersungguh dan siapnya dengan sempurna,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan dan Khatam Hafazan Al-Quran Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di sini, hari ini.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Justeru, baginda bertitah, pembukaan pusat tahfiz yang baharu mestilah disemak dengan teliti manakala pusat tahfiz yang sedia ada juga perlu sentiasa diperiksa untuk kebaikan semua pihak.

Ketika ini, terdapat lebih 100 pusat tahfiz persendirian dan swasta yang sudah dibangunkan di Pahang. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN