Bertuahnya dapat Cansino, sekali cucuk je

Bertuahnya dapat Cansino, sekali cucuk je

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

LIPIS: Sekurang-kurangnya 1,191 Orang Asli di 13 kampung daerah ini berpuas hati dan bangga apabila berpeluang menjadi penerima vaksin dos tunggal Cansino yang pertama di Pahang. 

Mereka adalah kumpulan pertama secara sukarela menerima vaksin itu menerusi Program ‘Outreach’ Vaksin Covid-19 di Pos Lenjang, Pos Titom dan Pos Sinderut, yang diadakan selama tiga hari berakhir semalam.

Program ‘Outreach’ Vaksin Covid-19 vaksin dos tunggal Cansino untuk masyarakat Orang Asli di Pos Lenjang, Pos Titom dan Pos Sinderut dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Penerima, Anisah Abdullah, 20, berkata dia berasa bertuah kerana tidak perlu lagi menunggu untuk mendapatkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19. 

“Apabila JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) Pahang mempelawa siapa berminat untuk menerima vaksin Covid-19, saya antara individu terawal mendaftar.

“Saya diberitahu selepas menerima suntikan saya hanya perlu berihat satu hingga dua hari sahaja. Selepas itu, boleh melakukan rutin harian seperti biasa,” katanya.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, ibunya, Siti Aminah Abdullah, 56, yang turut sama menerima vaksin yang sama. 

“Saya berharap lebih ramai lagi Orang Asli di kawasan pendalaman negeri ini bersetuju menerima vaksin bagi memastikan mereka tidak mudah dijangkiti Covid-19,” katanya. 

Bagi Bah Chu Bah Din, 39, sebelum ini Orang Asli terpaksa menerima dua dos suntikan namun berbeza dengan penduduk di Pos Lenjang, Pos Titom dan Pos Sinderut yang hanya menerima satu dos suntikan.

“Sebelum ini, saya tidak berminat untuk menerima vaksin kerana terpaksa menerima dua suntikan. Namun, mengubah fikiran apabila ditawarkan dengan Cansino yang hanya memerlukan satu suntikan,” katanya.