Bertuahnya orang Jerantut

Bertuahnya orang Jerantut

JERANTUT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memilih bandar Jerantut. Laman Rekreasi Tasik Tambahan Ampang, Selangor dan Taman Tasik Putra, Kulim, Kedah, sebagai Bandar Sihat. 

Timbalan Menteri KPKT, Dato’ Sri Dr Ismail Abd Mutalib berkata, tiga lokasi terbabit dipilih sebagai Bandar Sihat membabitkan peruntukkan RM1.5 juta menerusi PLANMalaysia. 

“Konsep Bandar Sihat yang ditetapkan bertujuan mewujudkan budaya gaya hidup aktif melalui pelaksanaan persekitaran sosial, fizikal dan komuniti yang sihat. 

“Ia dilaksanakan melalui perancangan fizikal dan reka bentuk bandar dengan menyediakan  kemudahan laluan pejalan kaki, laluan basikal, landskap, peralatan senaman, papan maklumat kesihatan dan kemudahan untuk warga emas, OKU dan kanak kanak,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Projek Bandar Sihat Jerantut di dataran Uptown Jerantut. Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah, (Perancangan) PLANMalaysia, Datuk Mohd Faizal Hamzah dan Yang Dipertua Majlis Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris. 

Katanya,  pelaksanaan Bandar Sihat ini di Jerantut diharap  dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat, mewujudkan komuniti dan bandar sejahtera yang sesuai untuk dihuni. 

Ismail berkata pemilihan lokasi untuk projek itu berdasarkan pencapaian Indeks Kemampanan Bandar yang diukur melalui jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar dan  Luar Bandar Malaysia  (MURNInets), potensi lokasi serta komitmen pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam melaksanakan projek.