Besar sekali jasamu ustaz, ustazah

Besar sekali jasamu ustaz, ustazah

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar Mustaffa Kamal

KUANTAN: Mengeluarkan duit sendiri untuk diberikan kepada pelajar dan mengejar pelajar yang ponteng sekolah di dalam belukar, antara pengalaman tak dapat dilupakan Sulaiman Hussin, 83, sepanjang bertugas sebagai guru di beberapa sekolah agama di Pahang.

Sulaiman yang memulakan tugas sebagai guru Madrasatul Al-Khairiah (kini dikenali Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah) di Temerloh pada 1966 sebelum bersara pada 1993 di Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Wosto juga di Temerloh, adalah penerima Anugerah Tokoh Guru (Lelaki) pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Pahang 2020/21.

Kesungguhannya dalam mendidik juga membolehkan ramai daripada kalangan anak didiknya menjadi orang berjaya.

Antaranya, Menteri Alam Sekitar dan Air merangkap Ahli Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau, Dato’ Sri Dr Ismail Mohamed Said dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

“Saya memang sukakan budak dan berusaha bersungguh-sungguh mengajar serta menggalakkan mereka ke sekolah. Malah saya pernah keluarkan duit saku sendiri untuk diberikan kepada pelajar sebagai imbuhan supaya mereka datang ke sekolah.

“Saat paling manis dan rasa puas tidak terhingga apabila dapat tahu anak didik saya berjaya menjadi orang berjaya… ada yang jadi menteri, Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan banyak lagi jawatan penting dalam negara,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan yang berlangsung di Kompleks Yayasan Pahang di sini, hari ini. 

Bagi penerima Anugerah Tokoh Guru (Wanita) pada majlis sama, Zainab Ismail, 77, beliau amat bersyukur menerima anugerah berkenaan.

“Kalau nak diikutkan teralu banyak pengalaman manis sepanjang saya bertugas sebagai guru bermula dengan guru sandaran pada 1964 di Madrasatul Al-Khairiah, sampailah terakhir di SMA Maran pada 1989.

“Saya juga aktif menyertai pelbagai aktiviti sepanjang berkhidmat dan pernah mengecap beberapa kejayaan, antaranya menjadi johan tilawah al-Quran daerah Temerloh, johan pertandingan bahas antara guru Pahang, johan pantun Pahang dan naib johan pantun peringkat kebangsaan,” katanya.

Majlis berkenaan disempurnakan Syed Ibrahim yang mewakili YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang, Dato’ Sri Ishak Muhamad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkefli Ali.

Sementara itu, Syed Ibrahim ketika ditemui selepas majlis berkata, kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM220,000 bagi meraikan sekolah agama cemerlang selain guru dan pelajar cemerlang bagi sesi 2020/21.

“Majlis hari ini untuk meraikan dan menyampaikan anugerah serta hadiah kepada sekolah-sekolah agama, guru serta pelajar sekolah agama cemerlang  di Pahang yang mana kita ada 18 buah sekolah semuanya.

“Untuk tahun ini Anugerah Sekolah Cemerlang Keseluruhan jathuh kepada SMA Tengku Ampuan Fatimah, Pekan,” katanya.