Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Penggiat sektor pelancongan di Pulai Tioman agak kecewa dan tidak menyangka gelembung pelancongan di pulau peranginan berkenaan ditangguhkan pada tarikh belum ditetapkan.
Penangguhan berkenaan turut membabitkan Genting Highlands yang sebelum ini diumumkan akan dibuka pada 1 Oktober ini selepas Pahang kini memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pemilik Tioman Santai Resort di Kampung Juara, Razib Ali Awang, berkata semua penggiat sektor pelancongan di Pulau Tioman kini sudah bersedia dan bersemangat untuk meneruskan aktiviti yang disediakan selepas hampir dua tahun tidak beroperasi disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya dah terima beberapa tempahan menginap di Tioman Santai Resort daripada pelancong namun kini terpaksa dibatalkan apabila gelembung pelancongan di pulau ini ditanggungkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan semula oleh kerajaan.
“Pelancong yang sudah membuat tempahan bilik juga terkilan apabila terpaksa menangguhkan rancangan mereka selain ada yang bertindak membatalkan tempahan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, pihak penggiat sektor pelancongan di Pulau Tioman rata-rata berharap kerajaan dapat membuka semula pulau peranginan yang terkenal diperingkat antarabangsa itu secepat mungkin.
Razib yang juga Ketua Kampung Juara berkata, kerajaan perlu menetapkan tarikh muktamad bila Pulau Tioman boleh dibuka sepenuhnya.
Kelmarin, Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim dilaporkan berkata, gelembung pelancongan domestik di Pulau Tioman dan Genting Highlands ditangguhkan.
Katanya, ia susulan kenyataan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan pembukaan pusat, pulau dan kawasan pelancongan serta aktiviti rentas negeri hanya dibolehkan apabila kadar vaksinasi negara mencapai 90 peratus populasi dewasa.