Bila lagi agaknya ye? Pahang pun dah macam Langkawi

Bila lagi agaknya ye? Pahang pun dah macam Langkawi

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Pahang bersedia melaksanakan gelembung pelancongan untuk menerima kehadiran tetamu seperti di Langkawi, Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata ini berikutan beberapa lokasi pelancongan di Pahang sudah mencapai imuniti kelompok.

Katanya, apabila kerajaan memutuskan melaksanakan gelembung pelancongan domestik, ia sebenarnya memberi kelegaan dan sinar baharu buat penggiat industri pelancongan.

“Namun, selepas segala perancangan dibuat termasuk mencapai imuniti kelompok, hanya Langkawi dibenarkan terlebih dahulu dan ia pasti sedikit mengecewakan penggiat sektor berkenaan.

“Cuma persoalannya ialah kenapa ia hanya bermula di Langkawi kerana banyak lokasi pelancongan lain khususnya di Pahang sudah pun bersedia untuk kembali menerima kehadiran pelancong,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Mohd Sharkar berkata, Bukit Fraser, di Raub dan Pulau Tioman sudah lama bersedia untuk kembali membuka sektor pelancongan.

Selain itu, katanya, lokasi pelancongan lain seperti Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Taman Negara Kuala Tahan dan Taman Negeri serta Genting Highlands dan Cameron Highlands juga bersedia kembali beroperasi.

“Oleh itu, pembukaan semula sektor pelancongan perlu dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan pemain industri pelancongan yang terjejas teruk sejak pandemik COVID-19 melanda negara,” katanya.