“Bila makan ingatlah saya” – Agong

“Bila makan ingatlah saya” – Agong

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: “Bila makan ingat saya,” demikian gurauan mesra KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada sebahagian penerima bantuan Program Santuni Kasih dan Kurniaan Daerah Kuantan dari Kampung Pantai Sepat, di Masjid Pantai Sepat, dekat sini, hari ini.

  Dalam program itu, Al-Sultan Abdullah sempat mengunjungi tiga perkampungan iaitu Kampung Pantai Sepat, Kampung Kuala Penor dan Kampung Cherok Paloh, untuk menyampaikan bantuan wang tunai dan barangan keperluan dapur kepada 156 golongan asnaf dan berpendapatan rendah.

  Turut mengiringi, KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

  Penerima, Noraini Bakar, 50, dari Kampung Pantai Sepat berkata, dia bukan sahaja berasa amat terharu menerima bantuan itu, malah kagum dengan keprihatinan dan kemesraan baginda Tuanku.

  “Memang saya gembira sangat dapat bantuan dan paling kagum dengan kemesraan baginda yang tidak sombong bertanya khabar kepada kami penduduk kampung.

KUANTAN 27 APRIL 2021. Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli beramah mesra bersama penduduk Kampung Cherok Paloh yang juga penerima sumbangan, Hussein Abdullah, 66, bersama isterinya Roziah Abdul Rahman, 57, selepas mengurniakan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian sempena ‘Program Santuni Kasih dan Kurniaan Daerah Kuantan’ di Masjid Kampung Cherok Paloh di sini. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

  “Tuanku juga pandai ambi hati, dia (baginda) kata selalu makan sata di kampung ini dan minta kami ingatkan dia bila makan. Memang rakyat Pahang dan Malaysia bertuah dapat Sultan sepertinya,” kata ibu kepada lima anak itu.

  Bagi Ruziah Abdul Rahman, 57, dan suami, Hussein Abdullah, 66, dari Kampung Cherok Paloh, sumbangan itu membolehkan mereka sekeluarga menikmati Aidilfitri dengan lebih sempurna.

KUANTAN 27 APRIL 2021. Penerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian pada ‘Program Santuni Kasih dan Kurniaan Daerah Kuantan’ dari Kampung Pantai Sepat, Noraini Bakar, 50. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

  “Maklumlah, saya cuma berniaga pasar tani dan suami pula sudah tidak bekerja selepas diserang strok empat tahun lalu.

  “Dengan bantuan ini, dapatlah saya buat belanja untuk sambut raya (Aidilfitri) tak lama lagi,” katanya.