Bimbang terkandas dek banjir, polis minta pelancong keluar dari Kuala Tahan

Bimbang terkandas dek banjir, polis minta pelancong keluar dari Kuala Tahan

JERANTUT: Semua pusat penginapan di Kuala Tahan kosong apabila seramai 45 pelancong tempatan yang menginap di situ mula secara berperingkat, mulai pagi tadi.

Ia berikutan arahan polis yang meminta semua pengunjung supaya segera meninggalkan kawasan berkenaan bagi menggelakkan terkandas di lokasi pelancongan popular itu.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan, berkata arahan itu dikeluarka berikutan paras air Sungai Tembeling mulai naik.

 “Kita bimbang pelancong terbabit terkandas kerana laluan keluar ke bandar Jerantut dijangka ditenggelami air.  Arus deras sungai akan membanjiri laluan ke bandar Jerantut di tiga lokasi dan jika ia berlaku, Jalan Kuala Tahan ke Jerantut biasanya ditutup untuk semua kenderaan. 

“Lokasi yang sering tenggelam ialah di laluan Simpang Paya Garok, laluan berhampiran sawmill Jerantut Feri dan Kampung Merting,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pihak polis mendapat kerjasama baik daripada pengusaha tempat penginapan dan penggiat perniagaan ekopelancongan di Taman Negara yang memberi penerangan jelas kepada pelancong berhubung hal itu.

“Kita bimbang pelancong terbabit tersekat di Taman Negara Kuala Tahan dalam jangka masa panjang jika banjir berterusan, sekali gus menyukarkan urusan kehidupan harian di tempat tinggal masing-masing,” katanya.

Mazlan berkata, polis sudahpun memantau pergerakan pelancong terbabit keluar mulai pagi ini dengan bantuan pengusaha pusat penginapan masing-masing.

“Segala operasi mengeluarkan mereka berjalan lancar dan sehingga petang ini dan semua pusat penginapan di Taman Negara termasuk di Kampung Kuala Tahan sudah tidak berpenghuni lagi,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE