Bingkisan harapan tahun baru daripada Tok Wan

Bingkisan harapan tahun baru daripada Tok Wan

KUANTAN: Meskipun mengharungi perjalanan berliku sepanjang 2022, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail tetap berbangga dengan pencapaian cemerlang kerajaan negeri dan mengajak seluruh masyarakat Pahang memberikan yang terbaikkepada negeri ini untuk tahun depan.

Katanya, rakyat negeri ini juga harus menolak setiap cubaan yang boleh mendatangkan kesan buruk, baik dari segi ancaman perpaduan, mahupun perpecahan politik.

“Tempoh 365 hari yang lalu bukan satu tempoh yang mudah dan tenang. Kita berdepan cabaran pasca COVID-19 selain ditimpa bencana dan tidak kurang pelbagai ujian yang mematangkan kita sebagai sebuah masyarakat.

“Malah, 2022 turut menyaksikan proses peralihan kuasa dan kerajaan yang tidak sunyi daripada polemik dan kontroversi. Namun, semua itu dapat kita harungi dengan baik.

“Jika diimbas, saya sejujurnya berasa amat sukacita kerana banyak yang berjaya dicapai negeri kita. Pahang merekodkan hasil negeri tertinggi, iaitu melebihi RM1 bilion. Pahang berjaya merekodkan kemasukan pelaburan sebanyak RM20.5 bilion dan kita berjaya mengurangkan hutang negeri sehingga berbaki hanya RM900 juta sekarang. Syukur alhamdulillah.

“Fajar 2023 yang menyinsing esok pasti tidak kurang mencabar. Setiap tahun baharu selalunya membawa bersama cabaran baharu. Namun, sikap dan tindakan kita harus positif.

“Secara peribadi, saya tidak mempunyai terlalu banyak sasaran melainkan untuk terus mencuba sedaya upaya meletakkan Pahang pada kedudukan yang lebih baik. Pahang harus makmur ekonominya, hidup masyarakatnya dan serba-serbi.

“Semoga segala ikhtiar awal kita menyediakan payung sebelum hujan dengan merangka pelbagai perancangan pembangunan dan  bantuan serta inisiatif yang disusun, akan membantu kita mendepani 2023 dengan penuh bersedia.

“Saya menyeru kepada semua untuk menjadikan 2023 sebagai tahun kita memberikan yang terbaik kepada negeri ini. Kita tolak segala cubaan yang boleh membawa kekeruhan. Baik dari segi ancaman perpaduan mahupun pecahan politik. Semua itu hanya merugikan.

“Doa saya, semoga Allah SWT memimpin kita dan melimpahkan Pahang dengan segala keberkatan dan kebaikan, insya-Allah. Selamat Tahun Baharu 2023,” katanya, hari ini. – HELMY ABD RAHMAN