Oleh Helmy Abd Rahman dan Izzah Yussof
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar/video Zulkepli Osman
KUANTAN: Kedukaan 120 mahasiswa dari empat institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini kerana tidak dapat pulang beraya, sedikit terubat apabila menerima sumbangan daripada Yayasan Pahang (YP).
Menerusi program Bantuan Prihatin Raya Mahasiswa Asnaf Yayasan Pahang itu, semua pelajar terbabit menerima pelbagai barangan keperluan asas dan biskut raya, selain duit raya daripada YP.
Program tahunan menerusi Pusat Khidmat Komuniti Mahasiswa (PKK-M) yayasan berkenaan berlangsung di Masjid Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), dekat sini, hari ini.
Difahamkan, YP memperuntukkan kira-kira RM24,000 bagi menjayakan program terbabit tahun ini.
Sumbangan disampaikan Ketua Pegawai Operasi YP, Ab Razak Abu Musa Saari dan turut disaksikan Rektor KUIPSAS, Prof Madya Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin.
Penerima terdiri daripada mahasiswa KUIPSAS, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Cawangan Kuantan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP).
Penerima bantuan, Ahmad Adli Abdul Rahim, 21, dari Kuala Terengganu berkata, meskipun sedih tidak dapat berhari raya bersama keluarga, dia tetap teruja untuk merasai pengalaman baru menyambut 1 Syawal di perantauan.
“Kalau difikirkan, Aidilfitri tahun ini menarik juga bagi saya kerana ia adalah pengalaman baru untuknya merasai suasana beraya di tempat orang,” kata anak sulung lima beradik yang sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda syariah kehakiman itu.
Bagi Mohamed Mikhail Mohamed, 22, yang kini berada di tahun akhir pengajian peringkat ijazah sarjana muda dakwah di KUIPSAS, sumbangan yang diterima dapat menghilangkan sedikit rasa kerinduan kepada keluarganya yang berada di Ayer Hitam, Pulau Pinang.
“Ini kali pertama menyambut Aidilfitri berjauhan daripada keluarga. Tahun lalu kami mengikuti pengajian secara dalam talian, jadi bolehlah beraya bersama keluarga tapi tahun ini terpaksa berjauhan pula.
“Ini adalah pengalaman baharu untuk saya dan rakan-rakan yang lain dan kita kena terima hakikat bahawa wabak ini memang banyak mengubah cara hidup kita,” katanya.