Bisa Malik, Athiu ditagih robek gawang Sarawak United

Bisa Malik, Athiu ditagih robek gawang Sarawak United

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

PRESTASI cemerlang dua penyerang, Abdul Malik Mat Ariff dan Kenny Athiu terus ditagih Sri Pahang FC apabila berdepan Sarawak United FC di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Ketua jurulatihnya, Dollah Salleh berkata,  gandingan dua penyerang itu diyakini mampu untuk memastikan tiga mata menjadi milik skuad Tok Gajah.

“Saya harap Malik dan Athiu dapat menjaringkan gol yang turut dibantu pemain di bahagian tengah dan pertahanan. 

“Kemenangan penting untuk memastikan slot suku akhir Piala Malaysia menjadi milik Sri Pahang,” katanya.

Selepas empat perlawanan, Abdul Malik dan Athiu masing-masing menjaringkan tiga gol dan prestasi padu mereka terserlah ketika menang besar 4-0 dan 5-0 ke atas Penang FC.

Sehingga ini, Kuala Lumpur (KL) FC mendahului Kumpulan A dengan lapan mata, diikuti Sarawak United (tujuh), Sri Pahang (enam) dan Penang FC (satu).

Peluang masih lagi terbuka buat empat pasukan untuk untuk menempah tiket ke suku akhir piala berprestij itu musim ini dengan baki dua perlawanan.