KUANTAN: Alhamdulillah..barulah BN (Barisan Nasional) terbaik & tidak mengkhianati pengundi BN,” kata pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Fuad Jamil, ketika mengulas status YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri yang Naib Presiden UMNO menerusi ‘post’ pada 2 petang, hari ini, dipetik menyatakan: “Seperti yang saya janjikan semalam bahawa saya tidak akan bersama dengan Pakatan Harapan (PH) walau apa yang jadi sekalipun.
“Alhamdulillah, Dewan Tertinggi Barisan Nasional telah buat keputusan bahawa kita tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.
“BN tidak menyokong Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional. Setakat ini, BN bersetuju kekal sebagai pembangkang.”
Tarmizi Bakhri yang juga ‘top fan’ turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan Ismail Sabri yang jelas menampakkan ketegasan Ahli Parlimen Bera itu terhadap kecelaruan ketika ini.
Kenyataan Ismail Sabri itu menerima lebih 27,000 likes dalam 57 minit di samping mendapat reaksi daripada kira-kira enam ribu pengikut dan dikongsi lebih 2,500 kali.