BN Indera Mahkota sedia gempur

BN Indera Mahkota sedia gempur

INDERA MAHKOTA: Semangat setia kawan dan perpaduan yang menjadi teras keutuhan Barisan Nasional (BN) sejak berdekad lamanya, dijelmakan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kawasan Parlimen Indera Mahkota, hari ini.

Kira-kira 500 penyokong BN berkumpul sejak jam 7 pagi di Pejabat UMNO Bahagian Indera Mahkota di sini, sebelum berarak menuju ke Pusat Penamaan Calon di Wisma Belia Bandar Indera Mahkota yang terletak kira-kira 300 meter dari situ, kira-kira 8.30 pagi.

Petunjuk awal membayangkan pertembungan sengit bakal berlaku antara calon daripada BN dan Perikatan Nasional (PN) berdasarkan jumlah kedatangan penyokong kedua-dua gabungan itu.

BN mempertaruhkan Dato’ Quek Tai Seong untuk mencabar penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah yang mewakili PN.

Turut bertanding merebut kerusi berkenaan ialah Zuraidi Ismail daripada Pakatan Harapan (PH) dan Dr Mohamad Nor Sundari (PEJUANG).

Dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen berkenaan pula menyaksikan pertandingan lima penjuru di Beserah dan empat penjuru di Semambu.

Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid diletakkan sebagai calon BN yang akan mencabar penyandang kerusi berkenaan Andansura Rabu (PN) selain turut ditentang Zulkifli Mohamed (PH), Mohd Fauzi Taib (PEJUANG) dan Tan Siang Yew (Bebas).

Khairul Hisham Omar pula mewakili BN di DUN Semambu yang akan menentang Chan Chun Kuang (PH), Zulfadhli Zakariah (PN) dan Dr Rashidah Abdul Rahman (PEJUANG).

Senarai nama semua calon diumumkan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Fadzilla Salleh. – HELMY ABD RAHMAN DAN MUHAMMAD IZZ ZAHIN