BN menjunjung titah Agong

BN menjunjung titah Agong

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kesyukuran dengan selesainya kemelut pelantikan YAB Perdana Menteri secara arif lagi bijaksana oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan telus dan berwibawa.

Katanya, BN pada mulanya membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya seperti mana turut diputuskan oleh GPS dan GRS.

“Pertimbangan ini berlunaskan perlembagaan negara berdasarkan peruntukan mengikut Perkara 43(2)(a) menetapkan dua syarat lantikan Perdana Menteri. Pertama, seseorang itu hendaklah ahli Dewan Rakyat, maksudnya seseorang itu memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU).

“Kedua, seseorang itu hendaklah pada hemat Yang di-Pertuan Agong mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Maka, baginda perlu berkeyakinan dalam keputusan bahawa seseorang itu mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Terdapat pelbagai proses dilakukan secara ketat bagi memenuhi kriteria tersebut termasuk memanggil menghadap ketua-ketua blok parti. Hal ini berlaku selepas Yang Dipertuan Agong menitahkan semua 30 Ahli Parlimen BN supaya menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.

“Maka BN menjunjung titah tersebut dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu dan parti. BN tidak mahu berpolitik sepanjang masa dan ingin memfokuskan masalah ekonomi rakyat yang perlu ditangani bersama,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata sebelum itu Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju untuk menyertai kerajaan perpaduan atau apa-apa bentuk kerajaan lain yang dimasyurkan Yang di-Pertuan Agong.

Jelas beliau apabila BN bersetuju menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, maka proses-proses berkaitan dilaksanakan oleh pihak Istana Negara malah perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara berkaitan pembentukan kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri ke-10 turut diadakan bagi memastikan ketelusan berlangsung sebelum memuktamadkan keputusan.

“Apabila pelantikan YAB Perdana Menteri ke-10 sudah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, maka semua pihak perlu menghormati keputusan dan kebijaksanaan tersebut. Tidak perlu lagi pihak mempertikaikan keputusan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara. Janganlah umpama rumah siap, pahat berbunyi.

“Marilah kita sama-sama menjunjung titah dan menghormati perkenan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan perlembagaan negara. Kita perlu bergerak ke depan dan bersama-sama membina negara ke arah kemakmuran dan kestabilan.

“Berdasarkan prinsip menjunjung titah menghormati pelantikan Perdana Menteri ke-10 oleh Yang di-pertuan Agong, insya-Allah BN akan menyokong usul undi percaya kepada Perdana Menteri agar keabsahan Perdana Menteri dimuktamadkan dan pihak yang cuba mempertikai akan senyap.

“Walaupun ada pihak mengatakan ini langkah berisiko Perdana Menteri baharu, namun inilah proses demokrasi yang perlu dilalui dan BN akan terus menyokong penuh sebagai tanda menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bagi menyokong pembentukan kerajaan baharu ini,” ujar beliau. – UMNO Online