KUANTAN: Jentera Barisan Nasional (BN) Pahang akan memberikan sepenuh komitmen untuk memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi BN Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata BN harus menang di Johor demi kestabilan, kemajuan, dan kemakmuran.
“Insya-Allah, jentera dari Pahang akan membantu sepenuh masa demi memastikan kemenangan BN di Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian di laman Facebook rasminya, hari ini.
Menurutnya, beliau meneruskan gerak kerja di PRN Johor dengan mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bersama jentera-jentera BN dari beberapa kawasan di Johor, semalam.
“Dalam mesyuarat ini, saya minta jentera BN fokus dengan gerak kerja yang bersasar di kawasan jagaan masing-masing.
“Pada masa sama, kekal istiqamah meskipun berhadapan pelbagai fitnah, putar-belit, serta manipulasi isu daripada parti lawan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Johor diadakan pada 12 Mac depan dengan hari mengundi awal ditetapkan pada 8 Mac, manakala penamaan calon 26 Februari ini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN