KUANTAN: Barisan Nasional (BN) Pahang meminta supaya barisan kepemimpinan tertinggi gabungan itu menghapuskan sistem kuota membabitkan pemilihan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
YAB Pengerusi BN Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata langkah itu akan mencerahkan peluang BN untuk kembali menakluki Putrajaya dan negeri yang tewas pada PRU-14 lalu.
Katanya, langkah itu terbukti berjaya apabila BN memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas calonnya, Dato’ Ramli Mohd Nor menang pada pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan pada 26 Januari 2019.
“Banyak kali juga saya berfikir sebelum bercakap mengenai perkara ini (kuota) kerana bimbang melukai rakan-rakan kita dalam BN, tapi inilah masa terbaik untuk saya sampaikan dan saya tak fikir kita (BN) boleh menang di Cameron Highlands kalau letak calon parti lain.
“Nak berperang, kita mesti ada strategi. Buat apa nak berperang kalau kita dah tahu akan kalah… menghabiskan duit dan masa sahaja,” katanya ketika berucap pada majlis Perjumpaan Timbalan Pengerusi BN bersama Komponen BN Pahang di Dewan Dato’ Sri Manan Ismail di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi merangkap Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, BN juga perlu mengatur langkah bijak dengan berfikir di luar kotak sebelum turun ke gelanggang PRU-15.
“Ini yang Pahang lakukan. Misalnya pada 2018 semasa saya mula menjadi Menteri Besar dulu, hutang Kerajaan Pahang kepada Persekutuan berjumlah RM3 bilion.
“Tetapi dengan berfikir luar kotak, kita berjaya kurangkan sehingga sekarang cuma tinggal kira-kira RM900 juta. Angka tak pernah berbohong tuan-tuan,” katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata, pihaknya akan memperhalusi pandangan BN Pahang berhubung sistem kuota itu.
“Kita akan kaji dan memperhalusi mengenai perkara ini,” katanya kepada media. – HELMY ABD RAHMAN