BN Pahang sasar tambah 5-8 kerusi DUN
MARAN: Barisan Nasional (BN) meletakkan sasaran memenangi di antara 30 dan 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dalam Pilihan Raya Umum PRU Ke-15 (PRU15) kali ini.
Ia adalah penambahan di antara lima dan lapan kerusi berbanding apa yang diperoleh dalam PRU14, pada 24 Jun 2018.
YAB Pengerusi BN negeri, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata antara DUN yang perlu dirampas adalah Damak dalam Parlimen Jerantut.
Selain itu, katanya, DUN Triang, Ketari, Bilut, Sabai, Tanah Rata, Teruntum, Tanjung Lumpur, Tahan, Semambu, Beserah, Panching, dan Tras adalah kerusi sasaran.
Wan Rosdy berkata, keyakinan itu dibuat bersandarkan kepada rekod pencapaian BN dalam usaha membangunkan negeri sepanjang pentadbiran 54 bulan.
Katanya, calon yang ditampilkan BN dalam PRU15 sudah ditapis dan diyakini mampu melaksanakan tanggungjawab sebaik mandat diberikan.
Beliau berkata, BN akan meneruskan kecemerlangan dan membawa pembangunan lebih baik kepada rakyat.
“Calon memainkan peranan (untuk menang) dan kita lihat banyak sudut sebelum buat keputusan memilih calon,” katanya dalam sidang media selepas Program Program Santai Anak Muda Parlimen Maran, di Chenor, semalam.
Turut hadir, calon Parlimen Maran, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin. – HUSIN IBRAHIM