Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar arkib
KUANTAN: Barisan Nasional (BN) Pahang menuntut Kerajaan Pusat mengambil tanggung jawab sepenuhnya atas kekhilafan kerana tindakan membatalkan semua Ordinan Darurat tanpa mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pengerusinya, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pusat tiada pilihan kecuali membuat permohonan keampunan ke sisi Seri Paduka Baginda dan tindak balas sewajarnya perlu diambil oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menteri yang bertanggung jawab mengenai hal itu.
“Bak kata pepatah, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’. Dalam hal ini, yang terlajak bukan setakat tutur kata, malah tindakan sehingga mengelirukan rakyat jelata.
“Oleh itu, BN Pahang menuntut agar Kerajaan Pusat mengambil tanggung jawab sepenuhnya atas kekhilafan yang sangat nyata ini dan sikap membisu sehingga kini, tidaklah sekali-kali membantu,” kata Menteri Besar Pahang itu.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, BN Pahang yang ditunjangi UMNO, juga berasa teramat sedih dan kesal dengan kejadian berkenaan yang bukan sahaja membelakangi kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara, malah prinsip kedaulatan undang-undang.