PEKAN: Barisan Nasional (BN) perlu mencatatkan kemenangan besar di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi mengembalikan kegemilangan parti keramat itu.
Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, berkata kemenangan di kerusi Parlimen Pekan, DUN Bebar, DUN Chini dan DUN Pulau Manis turut akan menjadi hadiah bermakna kepada ‘bossku’ (Dato’ Sri Najib Razak) yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan.
Menurutnya, untuk meraih kemenangan besar kerjasama jentera BN diperlukan, aktiviti berkempen perlu dilakukan secara berterusan sehingga ke garisan penamat.
“Di Pekan ini rakyatnya berdarah pahlawan, mereka bijak dan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan jentera BN DUN Peramu Jaya, di sini, kelmarin.
Turut sama calon BN DUN Peramu Jaya, Dato’ Mohd Nizar Najib.
Hishammuddin berkata, jentera BN diharap dapat membantu berkempen dalam memastikan anak saudaranya itu, Dato’ Mohd Nizar Mohd Najin, meraih kemenangan besar pada percubaan pertama sebagai wakil rakyat.
“Saya yakin bossku pasti berpuas hati dan berbangga apabila anaknya dan semua calon dalam Parlimen Pekan catat kemenangan pada PRU15,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD