BN perlukan informasi, bukan persepsi, kata Tok Mat Hasan

BN perlukan informasi, bukan persepsi, kata Tok Mat Hasan

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu bersandar kepada strategi berteraskan maklumat seandainya ingin kembali mentadbir negara pasca Pilihan Raya Umum  ke-15 (PRU-15)

Timbalan Pengerusinya, Dato’ SeriUtama Mohamad Hasan, berkata untuk itu, jentera BN perlu menghentikan sebarang usaha parti lawan menghasut rakyat menerusi perspektif yang berdasarkan persepsi.

Katanya, cara terbaik membetulkan persepsi adalah dengan melumpuhkannya menggunakan kenyataan yang benar dan sahih. 

“Untuk menang, BN perlukan informasi bukan persepsi. PRU-15 ini mesti disandarkan kepada strategi dan berdasarkan maklumat. Segala persediaan, gerak kerja mahupun tawaran kita, mestilah disokong dengan data, pelan dan pencapaian. 

“Yakinlah saudara dan saudari sekalian bahawa rakyat boleh menilai. Rakyat boleh berlaku objektif dan adil. Rakyat tidak akan terpedaya lagi,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian menerangkan lima strategi yang harus diambil BN iaitu idea, kesepakatan, politik moral, kepimpinan ‘intergenerational’ (antara generasi) dan strategi yang tuntas bagi menawan hati rakyat, seterusnya memenangi PRU-15.

Tambahnya, BN harus diperkenalkan semula kepada masyarakat dengan tawaran-tawaran dan penampilan baharu. 

“Atas dasar itu, hari ini saya akan memberikan fokus kepada dua perkara utama untuk kita fikir dan lunaskan bagi mengecapi kemenangan. Pertama, bagaimana kita harus memperbaiki, mengukuh dan mencipta semula gelombang gelora jenama BN dan kedua, mengapa pentingnya kita kembali memerintah dan bagaimana melakukannya. 

“Tuan-tuan dan puan-puan, setelah 48 tahun, amat wajar kita bertanya, bagaimana harus kita ‘reinvent’ (perkenal semula) jenama Barisan Nasional ini, atau sekurang-kurang ‘recalibrate’ (menyusun semula) apa yang kita ada. 

“Semua ini adalah perkara yang mesti difikirkan dan dihidupkan kembali dengan nafas baharu. Sebabnya mudah, zaman sudah berubah dan generasi sudah silih berganti. 

“Masakan BN terus terperangkap dalam nostalgia silamnya. Hanya kerana kita pernah berjaya dahulu, dengan cara sebelum ini tidak bermakna kita akan terus berjaya dengan cara yang sama,” tegasnya. – HELMY ABD RAHMAN