BN, PH bincang kerjasama strategi kempen DUN Tioman

BN, PH bincang kerjasama strategi kempen DUN Tioman

ROMPIN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain akan bertemu calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly dalam masa terdekat untuk membincangkan gerak kerja dan strategi kempen.

Mohd Johari atau lebih terkenal dengan Tok Jo berkata, ini susulan parti Amanah, pada 29 November, bersetuju calonnya yang mewakili PH memberi laluan kepada BN bagi kerusi DUN Tioman.

“Saya sekarang di peringkat awal perbincangan bersama dengan wakil-wakil tersebut (PH) bagi kita merangka strategi gabungan yang terbaik sebelum melangkah ke peringkat lebih jauh.

“Ini juga adalah bagi memastikan kelancaran dalam kita berkempen kerana ini satu perkara yang bagi saya agak luar biasa berlaku di Pahang,” katanya selepas menghadiri program bersama penduduk di Kampung Jawa Pantai, di sini, semalam.

Mohd Johari juga berharap jentera kedua-dua parti dapat bekerjasama dengan baik dalam meraih sokongan pengundi berdasarkan perkembangan semasa yang menyaksikan gandingan BN dan PH untuk membentuk Kerajaan Pahang.

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, dalam satu kenyataan, semalam, berkata keputusan memberikan laluan itu sebagai tanda kesepakatan serta memperkukuh kerajaan perpaduan di peringkat negeri dan nasional.

Dalam pilihan raya itu, Mohd Johari sepatutnya berhadapan saingan lima penjuru membabitkan Mohd Fadzli, calon Perikatan Nasional (PN), Nor Idayu Hashim; Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas). – BERNAMA