JERANTUT: Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan tiga muka baharu iaitu di Parlimen Jerantut, Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak dan Tahan, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pada 19 November ini.
Ketiga-tiga calon itu ialah Setiausaha UMNO Bahagian Jerantut, Dato’ Zukarmi Abu Bakar, Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Muhammad Fasal Jamlus dan Ketua Puteri UMNO Bahagian, Faezah Ishak.
Zukarmi dipilih bagi menggantikan Datuk Ahmad Nazlan Idris yang mengosongkan kerusi Parlimen Jerantut (P081) untuk memberi luan kepada muka baharu.
Muhammad Fasal pula akan bertanding di DUN Damak (N10) dan Faezah pula akan bertanding di DUN Tahan (N09).
Kedua-dua calon baharu itu akan menghadapi tugas mencabar bagi merampas semula kerusi yang dimenangi oleh dua wakil rakyat PAS pada PRU14.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau TAWAR (N11), Dato’ Nazri Ngah diberi kepercayaan untuk bertanding kali kedua di tempat yang sama. – MUHAMMAD NAJMIE