PEKAN: Dua puluh lima bekas ketua kampung kawasan Peramu Jaya, di sini, memberi jaminan untuk menyokong penuh calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bekas Pengerusi Persatuan Ketua Kampung Daerah Pekan, Abd Kadir Bakar, 72, berkata, mereka tidak pernah berganjak daripada menyokong BN yang memang amat jelas mampu membela nasib rakyat dan memimpin negara.
Menurutnya, sokongan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Najib Razak sejak PRU 1976 akan diterjemahkan pula ke atas calon BN kerusi Parlimen Pekan, Dato’ Sri Sh Mohamed Puzi Sh Ali dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya, Dato’ Mohd Nizar Najib.
“Saya dan semua rakan telah berjanji akan menyokong calon BN dan kami berkempen di kalangan keluarga supaya mengundi calon BN.
“Terlalu banyak jasa BN pada rakyat, terutama di daerah ini. Pelbagai bantuan dan kemudahan disediakan bagi keselesaan semua pihak,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan calon Peramu Jaya, di sini semalam.
Rakannya, Mohammad Safian Man, 67, berkata: “Saya yakin BN mampu meraih kemenangan pada PRU15 kali ini. Semua calon memiliki kelebihan.
“Saya juga bangga melihat anak bekas Perdana Menteri dicalonkan untuk kerusi DUN Peramu Jaya. Generasi muda perlu diberi peluang memimpin,” katanya yang sebelum ini ketua Kampung Kelat Rendang.
Sementara itu, Mohd Nizar berkata, sokongan yang diberikan semua bekas ketua kampung DUN Peramu Jaya dapat menambahkan lagi kekuatan peti undi DUN Peramu Jaya pada PRU15.
“Saya menyanjung tinggi sokongan dan bantuan diberikan bekas ketua kampung kawasan Peramu Jaya yang tidak berganjak menyokong BN,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD