KUANTAN: UMNO Bahagian Paya Besar optimis Barisan Nasional (BN) dapat merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panching pada Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU-15).
Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, jentera penerangan perlu proaktif dan efisien bagi mencapai objektif itu.
“Kita sebenarnya kalau pandai mainkan peranan sebagai ahli parti dan bijak pula dalam memenangi hati pengundi, sudah pasti kita dapat menambah lagi sokongan pengundi kita di Sungai Lembing.
“Kita juga boleh merampas semula DUN Panching yang jatuh ke tangan pembangkang (PAS) pada PRU-14 yang lalu,” katanya ketika berucap pada Program Gerak Kerja Penerangan dan Media DUN Sungai Lembing di Dewan Semai Bakti, Felda Bukit Kuantan di sini, semalam.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Dato’ Indera Ahmad Tajudin Sulaiman.
DUN Panching dimenangi Mohd Tarmizi Yahya yang menewaskan Mohd Zaili Besar dengan perbezaan undi 135. Mohd Tarmizi mendapat 7,143 undi manakala Mohd Zaili (7,008), pada PRU-14. – NUR HANNAH KHADIJAH