Bokhashvili perkasa jentera serangan Sri Pahang

Bokhashvili perkasa jentera serangan Sri Pahang

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Penyerang kelahiran Ukraine, Yevhen Bokhashvili melengkapkan senarai lima pemain import pasukan Sri Pahang bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

  Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Dato’ Mohammed Suffian Awang berkata, Bokhashvili mengisi tempat Sergio Aguero dari Argentina yang akan dipinjamkan ke kelab lain.

  Katanya, pemain berumur 28 tahun itu diharap mampu untuk memperkasakan jentera serangan Sri Pahang yang akan bergandingan dengan Pedro Henrique.

  “Saya sahkan bahawa Bokhashvili menyarung jersi Sri Pahang yang melengkapkan kuota lima import manakala Sergio akan dipinjamkan kepada sebuah kelab,” katanya.

  Dengan pengesahan Bokhashvili, Sri Pahang yang dilatih Thomas Dooley melengkapkan kuota lima import termasuk Henrique, Herold Goulon, Mamadou Wague dan Lee Tuck.

  Berdasarkan rekod, Bokhashvili bermain dengan PSS Sleman yang beraksi dalam Liga Satu Indonesia.

  Mengulas kedudukan Aguero, Mohammed Suffian berkata, pasukan itu sedang mengadakan rundingan untuk meminjamkan penyerang itu kepada sebuah kelab di negara ini.

  “Kita harap rundingan ini berjalan lancar dan dijangka selesai dalam tempoh terdekat,” katanya.