Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Barisan kejurulatihan, pegawai dan pemain Sri Pahang FC diingatkan kekal patuh pada prosedur operasi standard (SOP) menjelang sambungan baki saingan Piala Malaysia pada 30 Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC (SPFC), Dato’ Mohammed Suffian Awang, berkata sekiranya berasa tidak sihat, segera memaklumkan kepada pengurusan.
Katanya, kes Covid-19 yang membabitkan pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) perlu dijadikan pengajaran untuk memastikan keselamatan diri daripada penularan wabak itu.
“Sebaiknya, semua pihak iaitu barisan kejurulatihan, pegawai dan pemain terus kekal patuh pada SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, cabaran NSFC dalam Piala Malaysia musim ini terhenti selepas pasukan itu menarik diri daripada saingan berikutan 24 pegawai dan pemain pasukan disahkan positif wabak pandemik itu pada 18 Oktober lalu.
Kesemua mereka yang terbabit kini masih dalam kuarantin di rumah selama 10 hari dengan pemantauan oleh KKM.