Boleh berkelah di TER dah weh

Boleh berkelah di TER dah weh

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) membuka semula kawasan ekopelancongan berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK), sejak Isnin lalu.

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong berkata, aktiviti perkelahan, pendakian dan menjelajah dalam kawasan hutan kini boleh dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang ingin memasuki kawasan ekopelancongan HSK terlebih dahulu perlu memohon permit daripada pejabat hutan daerah.

Katanya, kini terdapat 26 Taman Eko Rimba (TER) dan Hutan Taman Negeri (HTN) di Pahang yang menjadi lokasi kunjungan pelancong tempatan dan luar Pahang.

“Kita masih menutup dua TER di Bentong iaitu TER Chamang dan TER Lentang termasuk TER Lata Berembun, Raub.

“Turut ditutup Gunung Rajah serta Bukit Raka, Bentong. Lokasi berkenaan akan dibuka apabila keadaan mengizinkan,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, penutupan 26 Taman Eko Rimba (TER) dan Hutan Taman Negeri (HTN) sebelum ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Regina berkata, pengunjung kawasan ekopelancongan dinasihatkan menjaga keselamatan sepanjang aktiviti dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19. – MOHD IMRAN IZZAD