Boleh ditangkap jika anjur majlis keraian dihadiri lebih 100 tetamu

Boleh ditangkap jika anjur majlis keraian dihadiri lebih 100 tetamu

Langkah kawalan tambahan dilaksanakan bagi membendung penularan COVID-19 di negeri ini

Helmi Abd Rahman fikrahpahang@gmail

KUANTAN: Awas! Anda boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk ditangkap sekiranya menganjurkan majlis keraian dihadiri lebih 100 tetamu pada satu-satu masa.
Ketua Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak, berkata itu antara langkah kawalan tambahan dilaksanakan bagi membendung penularan COVID-19 di negeri ini.
“Kerajaan negeri bersetuju melaksanakan empat langkah kawalan tambahan di Pahang iaitu satu, arahan penutupan premis: Mana-mana premis didapati melanggar had masa operasi dan SOP (prosedur operasi standard) PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) dikeluarkan pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan boleh mengenakan tindakan menutup premis selama tiga hari bagi kesalahan pertama, diikuti penutupan tujuh hari (kedua) dan 14 hari kesalahan (ketiga).
“Penguatkuasaan ini adalah berdasarkan peruntukan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah kawalan kedua adalah membabitkan perhimpunan dan majlis kenduri atau keraian yang mana dihadkan kepada 100 orang pada satu-satu masa.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan melakukan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan termasuk tangkapan terhadap penganjur atau tuan rumah majlis terbabit.
“Bagi kenduri perkahwinan, penganjur atau tuan rumah hendaklah memohon kebenaran terlebih dahulu untuk mengadakan majlis kenduri kahwin menggunakan borang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) melalui Pejabat Agama daerah masing- masing manakala untuk upacara keraian perkahwinan bukan Islam pula, permohonan boleh dibuat melalui Pejabat Daerah dan Tanah masing-masing,” katanya.
Selanjutnya, beliau berkata, mana-mana premis didapati mempunyai kes positif COVID-19 perlu ditutup selama tiga hari untuk untuk kerja-kerja sanitasi manakala premis yang dihadiri oleh kontak rapat kes positif COVID-19 melebihi 10 peratus akan diarahkan tutup selama 14 hari.
“Langkah kawalan terakhir pula membabitkan penarafan bintang bagi premis yang mematuhi SOP PKPP. PBT akan membuat pemantauan dan pemeriksaan ke atas setiap premis perniagaan dan akan melaksanakan penarafan bintang bagi menggalakkan pematuhan SOP di sepanjang tempoh PKPP mulai 29 Oktober 2020,” katanya.
Menurutnya, meskipun penularan COVID-19 di negeri ini masih terkawal, langkah tambahan itu perlu berikutan peningkatan mendadak kes di beberapa negeri termasuk yang berjiran dengan Pahang.
“Semua langkah kawalan tambahan ini berkuatkuasa serta-merta sehingga (tarikh tamat) dimaklumkan kelak,” katanya.