TEMERLOH: “Dua perasaan berbeza muncul di jiwa saya secara serentak iaitu terkejut dan terharu sebaik mendapat tahu layak menerima insentif untuk guru KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardu Ain) hari ini.
“Memang sebelum ini tak tahu langsung dan tak sangka boleh dapat ‘hadiah’ sebegini… syukur sangat sebab dapat rezeki ‘terpijak’ ini,” kata Siti Sarah Rosman, 32, guru KAFA di Sekolah Kebangsaan Mentakab Jaya di sini.
Ibu kepada dua anak perempuan itu berkata, wang tunai diterima akan digunakan sebaik mungkin untuk keperluan keluarga.
“Setidaknya boleh juga ganti duit yang ‘terbang’ buat belanja masa Aidiladha lalu,” katanya yang menetap di Temerloh Jaya.
Siti Sarah ditemui Fikarh Pahang selepas Majlis Penyerahan Insentif Kerajaan Negeri Kepada Guru-Guru dan Penyelia KAFA Pahang di Dewan Dato’ Zaharudin Kasim, Kerdau di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin dan barisan EXCO Kerajaan Pahang.
Bagi penyelia KAFA Temerloh, Aishah Ab Rahman, 39, insentif berkenaan membuktikan Kerajaan Pahang adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan relevan kepada rakyat negeri ini.
“YAB MB (Menteri Besar) dalam ucapannya tadi ada menyebut mengenai tanggungjawab setiap kerajaan iaitu antaranya relevan kepada rakyat dan sememangnya apa yang disampaikan hari ini membuktikan Kerajaan Pahang amat relevan kepada rakyat.
“Bukan hanya kami, malah sebelum ini pun Kerajaan Pahang dah buktikan mereka adalah kerajaan terbaik dengan pelbagai bantuan untuk setiap lapis rakyat terutama golongan pertengahan dan B40.
“Saya mewakili semua 258 orang daripada kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Pahang dan MB,” katanya.
Guru KAFA dari Masjid Abu Bakar di sini, Muhammad Khairulfaiz Hamidzi, 37, pula menyifatkan bantuan diterima hari ini membuatkan dirinya berasa dihargai.
“Maklumlah, sebelum ini guru KAFA seperti terpinggir berbanding penjawat awam lain tetapi sekarang nasib kami juga terbela.
“Tak salah saya, ini bantuan pertama kami terima dan mudah-mudahan tahun-tahun akan datang, kami dapat lebih lagi seperti yang diucapkan MB tadi,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN