PEKAN: Tapak untuk 18 menara telekomunikasi yang dilanda banjir sebelum ini sudah ditinggikan di antara tiga hingga lima meter bagi memastikan sistem perhubungan tidak terjejas apabila banjir.
Exco Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata
pembinaan tapak baharu itu bertujuan mengelak peralatan elektronik dan kotak suis utama rosak jika dianda banjir.
“Saya terima laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang memaklumkan tapak menara infrastruktur itu sudah ditinggikan.
“Ini akan dapat mengurangkan gangguan sistem komunikasi sekiranya lokasi tersebut dilanda banjir sekali lagi,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara lokasi itu ialah di Kg Teluk Sabak, Bandar Bentong 2, Benus Jaya, Bentong Industri, Kg PaLya Besar, Kemasuk, Triang, SK Nadak, SK Paya Luas, Kg Bukit Rangin 2, Kg Bukit Rangin, Jalan Temerloh-Kemayan dan Bukit Dinding.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya, pemeriksaan terhadap bekalan tenaga pilihan iaitu set generator juga giat dijalankan.
“Ini termasuk persediaan bagi sewaan set generator untuk lokasi kritikal bagi memastikan bekalan elektrik sementara dapat disalurkan jika bekalan TNB terpaksa diputuskan,” katanya.
Dalam kejadian banjir pada akhir 2021 dan awal 2022, lapan belas daripada 571 menara telekomunikasi di Pahang dinaiki air melebihi tiga meter sehingga menyebabkan kotak suis utama dan peralatan elektronik mengalami kerosakan. – NUR HANNAH KHADIJAH