Boleh melancong ke Bukit Fraser bermula 8 Ogos ini

Boleh melancong ke Bukit Fraser bermula 8 Ogos ini

Oleh Husin Ibrahim

fikrahpahang@fikrahpahang.gmail.com

RAUB: Lokasi pelancongan tanah tinggi terkenal, Bukit Fraser, dijadualkan untuk kembali dibuka pada 8 Ogos ini, jika mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehudin Ishak, berkata pelancong boleh mengunjungi semula Bukit Fraser berikutan keseluruhan penduduknya sudah menerima kedua-dua dos vaksin COVID-19. 

“Sebahagian besar penduduknya terbabit dengan sektor pelancongan. Apabila mereka sudah divaksin bermakna kebarangkalian untuk mereka menerima jangkitan adalah tipis.

“Tapi, pelancong perlulah di kalangan mereka yang sudah menerima vaksin sepenuhnya di samping wajib mematuhi SOP,” kata Dr Sallehudin selepas menyaksikan penduduk tempatan menerima dos kedua dalam program komuniti berkelompok, di sini, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato Sri Sallehuddin Ishak pada sesi lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Daerah Raub

Turut hadir EXCO Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Abdul Aziz Mat Kiram; Pegawai Daerah Raub, Dato’ Mohammad Shahid Ismail dan pemangku Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Kamaruddin Ibrahim. 

Dr Sallehudin berkata, tanggal 8 Ogos yang dicadangkan itu dianggap bersesuaian untuk Bukit Fraser menerima kunjungan pelaancong kerana ia selepas 14 hari penduduknya menerima vaksin sepenuhnya.

Katanya, jika menjadi tiada aral melintang, Bukit Fraser akan menjadi kawasan pelancongan pertama di Pahang yang dibuka manakala Pulau Tioman akan menyusul kemudiannya. 

“Pulau Tioman diutamakan untuk dipercepatkan pembukaannya kerana ia akan tutup semula pada Oktober kerana tengkujuh,” katanya. 

Dr Sallehudin berkata, tiga kawasan pelancong utama di Pahang iaitu Bukit Fraser, Pulau Tioman dan Taman Negara adalah kawasan berisiko tinggi bencana alam dan kerana itu Kerajaan Pusat setuju agar vaksinasi penduduknya disegerakan. 

“Jika lambat sehingga berlarutan ke musim tengkujuh, proses vaksinasi penduduknya akan bertambah sukar,” katanya.