Boleh pergi pasar malam kalau dah dapat dua dos vaksin

Boleh pergi pasar malam kalau dah dapat dua dos vaksin

Oleh Muhammad Izz Zahin 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Aktiviti pasar malam, jualan but kereta, pakaian terpakai dibenarkan beroperasi berkuat kuasa hari ini. 

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda, berkata kerajaan negeri meminta semua peniaga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

Bagaimanapun, katanya, hanya pelanggan yang lengkap dua dos vaksin dibenarkan memasuki tapak perniagaan itu. 

“Pelanggan perlu menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 sebelum memasuki kawasan pasar malam, jualan but kereta dan pakaian terpakai,” katanya pada sidang media di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini. 

Bagi menyekat penularan kes wabak COVID-19 di tapak perniagaan itu, katanya,  pelanggan tidak dibenarkan makan atau minum berhampiran tapak terbabit.

Katanya, pelanggan juga tidak dibenarkan mencuba sebarang jenis pakaian dan kasut. 

“Pelanggan yang berumur 70 tahun ke atas tidak digalakkan ke pasar malam termasuk peniaga berumur 60 tahun tidak digalakkan berniaga. 

“Tapak pasar malam akan ditutup selama tiga hari untuk pembersihan sekiranya ada kes positif Covid-19,” katanya.